Covid-19 Sabah: Tiga daerah tiada kes baharu hari ini

Covid-19 Sabah: Tiga daerah tiada kes baharu hari ini

Kota Kinabalu: Kes jangkitan Covid-19 mencatat penurunan 54 kes kepada 393 kes dengan tiga daerah tidak mencatat sebarang kes baharu, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah terbabit ialah Kinabatangan, Tongod dan Kalabakan.

Katanya, sebanyak sembilan daerah pula mencatat kes satu digit iaitu Lahad Datu (sembilan), Sandakan (sembilan), Pitas (tujuh) , Nabawan (enam), Putatan (lima), Semporna (empat), Kuala Penyu (empat), Beluran (tiga) dan Kunak (dua).

“Hampir semua daerah menunjukkan keadaan yang terkawal walaupun terdapat pertambahan dalam jumlah yang kecil di beberapa daerah.

“Kecuali Kota Kinabalu, jumlah kes harian di daerah lain di Sabah adalah di bawah paras 50 dengan 12 daerah mencatat kurang daripada 10 kes, malah tidak ada kes baharu yang dilaporkan di tiga daerah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi hari ini dengan sebanyak 62 kes, diikuti Kota Belud (40), Tuaran (27), Kota Marudu (26), Sipitang (20), Beaufort (20), Tawau (19), Tambunan, (18), Penampang (18), Kudat (17), Papar (16), Keningau (16), Telupid (15), Ranau (15) dan Tenom (15).

Masidi berkata, daripada 393 kes yang dicatat hari ini, 45.5 peratus (179 kes) adalah kes yang didaftar lewat dua hingga lims hari selepas keputusan saringan diketahui.

Katanya, kes baharu yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu berjumlah 214 kes atau 54.5 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

“Kes jangkitan yang dianggap serius kekal rendah. Jumlah kes dalam Kategori 3 seramai lima orang, Kategori 4 (dua orang) dan Kategori 5 (tiga orang).

“Kebanyakan kes jangkitan adalah dalam Kategori 2 iaitu seramai 320 orang (81.4 peratus) dan Kategori 1 seramai 60 orang (15.3 peratus). Tiga kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|