Semporna: Seramai 30 Jurupandu Selam menyertai program kursus Emergency First Respond (EFR) dan Rescue Refresher yang diadakan selama dua hari, di sini, bermula kelmarin.
Kursus anjuran Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) melalui agensinya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Semporna itu adalah satu inisiatif kerajaan Sabah dalam usaha memulihkan aktiviti pelancongan khususnya aktiviti selam skuba di Semporna.
Presiden Persatuan Pelancongan Semporna, Jamilah Ang berkata, program yang dilaksanakan itu sangat membantu pengusaha menaikkan semula industri pelancongan di daerah ini.
“Ini sangat membantu khususnya untuk aktiviti selam skuba, memandangkan semua jurupandu selam telah lama meninggalkan kerjaya ini disebabkan pandemik Covid-19.
“Diharap dengan adanya kursus ini dapat meningkatkan semula keyakinan dan kemahiran peserta,” katanya yang turut hadir pada program itu, di sini, baru-baru ini.
Seorang peserta, Suhaimi Armstrong berkata, pihaknya amat menghargai usaha KePKAS dalam menganjurkan kursus itu.
“Kursus ini banyak membantu meningkatkan semula kemahiran menyelamat dan berharap agar kursus-kursus sebegini akan diadakan lagi bagi komuniti Pemandu Snorkeling di seluruh negeri Sabah, khususnya di Semporna,” katanya.
Aktiviti menyelam adalah antara aktiviti pelancongan utama di Sabah terutamanya di Semporna.
Dengan keindahan alam semulajadi terutama pemandangan dasar laut, Jurupandu Selam atau Divemaster memainkan peranan penting dalam mengendalikan aktiviti menyelam bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Perkhidmatan Jurupandu Selam diperlukan bagi memastikan keseronokan dan keselamatan pelancong berada pada tahap yang optimum.
Bagaimanapun, selepas pandemik Covid-19 melanda, aktiviti itu telah dihentikan dalam tempoh waktu yang agak panjang.
Oleh itu, KePKAS mengambil inisiatif untuk melatih semula Jurupandu Selam yang bekerja di Semporna dalam aspek kemahiran khususnya keselamatan bagi mengelakkan sebarang kemalangan serta mengurangkan risiko.
-Deasoka