Jeffrey ajak Peter, Juil sertai STAR

Jeffrey ajak Peter, Juil sertai STAR

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengajak bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony untuk menyertai parti berkenaan dalam usaha menyatukan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM).

Perkara itu dikemukakan Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan selepas Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim mengumumkan keluar WARISAN semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata pihaknya berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan kedua-dua pemimpin KDM itu dan bergabung di bawah satu banner.

“Masyarakat KDM yang bersatu padu baik untuk Sabah. Saya juga mahu mengajak ADUN Inanam, Peto Galim (PKR) dan bekas ahli Parti Cinta Sabah (PCS) untuk menyertai kami supaya kita dapat bekerja bersama untuk membentuk masa depan negeri ini,” katanya.

Jeffrey yang juga ADUN Tambunan, berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini menunjukkan rakyat di negeri Borneo mula menolak parti berasal dari Semenanjung dengan memberikan undi yang memberangsangkan kepada parti tempatan.

“Sekarang adalah masa untuk rakyat Sabah bersatu padu dan mengukuhkan pengaruh politik di peringkat nasional,” katanya.

Peter dan Juil mengumumkan keluar WARISAN pada sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam selain menyatakan akan menubuhkan sebuah parti baharu yang memfokuskan kepada usaha membela masyarakat KDM di kawasan pedalaman sebagai landasan baharu politik mereka.

Berdasarkan spekulasi sebelum ini, selain Peter dan Juil, beberapa lagi wakil rakyat pembangkang, termasuk dari PKR dikhabarkan akan mengikut langkah Peter.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|