Dengari suara anak muda – Azuwan Marjan

Dengari suara anak muda – Azuwan Marjan

Kota Belud: Pergerakan Pemuda UMNO perlu terus menyusuri dan mendalami idealisme anak-anak muda yang pelbagai supaya perjuangan parti terus mekar dan berupaya menempuh apa juga cabaran dan gelombang yang datang.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan berkata, ia selaras dengan pindaan kelayakan pengundi berusia 18 tahun dan pendaftaran secara automatik yang telah diwartakan.

Azuwan menyampaikan piala kepada pasukan johan perlawanan Fustal Tertutup Piala Pengerusi BN Kota Belud.

Katanya, undi 18 sudah tentu akan mengubah senario politik negara dan parti perlu menyusun pelbagai langkah dan memastikan apa yang diambil hari ini dan seterusnya benar-benar memberikan pilihan yang terbaik kepada golongan berkenaan.

“Kita perlu mendalami idealisme anak muda yang pelbagai, ada antaranya yang pro kepada kerajaan, sebahagiannya pro kepada pembangkang dan ada yang mengambil pendekatan di haluan tengah.

“Justeru kita perlu memahami minat mereka ini termasuk dalam program politik yang kita laksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penutupan Kejohanan Fustal Tertutup Piala Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kota Belud di Padang Fustal Kampung Siasai Jalan Tamu, di sini, baru-baru ini.

Beliau hadir pada majlis itu bagi mewakili Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Fadli Juanas.

Menurut Azuwan lagi, sekurang-kurangnya lima atau enam program perlu berada di luar kolam UMNO bagi membolehkan golongan muda dapat bersama dalam program yang dilaksanakan.

“UMNO khususnya Pemuda dan Puteri perlu menarik minat orang muda dalam setiap program yang dilaksanakan, tidak hanya tertumpu kepada program sukan, riadah atau hiburan tetapi perlu diperluaskan antaranya masalah peluang pekerjaan,” katanya.

Sehubungan itu, Azuwan yang juga Naib Presiden Majlis Belia Malaysia berkata, Pemuda UMNO perlu membawa cadangan dasar parti dan kerajaan untuk merangka skim jaminan pekerjaan sama ada dalam bidang pertanian, keusahawanan dan lain-lain.

“Pemuda UMNO perlu memudahkan segala urusan mereka dalam mencari pekerjaan, memohon pembiayaan. Kita perlu menjadi pemudah cara dan kita perlu menjadi ‘point-person’ yang mereka hubungi untuk minta bantuan-bantuan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan membangunkan pelbagai industri baharu dalam membantu rakyat yang ketika ini amat terkesan dengan pandemik dan cabaran lain.

Tambahnya lagi, apa yang paling penting ialah UMNO dan BN perlu mengetahui pemikiran, cita rasa dan kehendak golongan muda dan parti pula perlu mendengar pandangan serta suara kumpulan pengundi tersebut.

“Kita tidak boleh membiarkan seolah-olah kita tidak mengambil apa-apa langkah dengan mengarahkan mereka melakukan itu dan ini tetapi tidak mendengar suara dan kehendak mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|