Kekalkan lagun tebatan banjir di Likas, bukan ditebus guna – Yong Teck Lee

Kekalkan lagun tebatan banjir di Likas, bukan ditebus guna – Yong Teck Lee

Kota Kinabalu: Pihak berkuasa digesa tidak membenarkan sebarang aktiviti atau tebus guna tanah dilaksanakan di lagun tebatan banjir di Likas, di sini.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, menegaskan sebarang tindakan menebus guna kawasan itu bakal memburukkan lagi situasi banjir di bandar raya ini.

Teck Lee bersama beberapa penduduk Kampung Likas melihat ilustrasi keadaan banjir akibat kehilangan lagun tebatan banjir di Teluk Likas.

Katanya, Lagun Likas itu penting sebagai aset tebatan banjir untuk mengawal aliran air dari Lembangan Likas di sepanjang Jalan Tuaran dan kawasan perumahan Likas dari Batu 2 hingga Batu 4.5, di sini.

Beliau berkata, pembangunan pesat kawasan Lembangan Likas, yang sebelum ini dihadkan dan dikawal ketat, menyebabkan aliran air yang deras akibat hujan lebat.

“Hujan memerlukan longkang besar untuk mengalirkan air ke Lagun Likas sebelum memasuki laut terbuka. Ketika air pasang, pintu air di Lagun Likas akan ditutup dan pam akan mengepam keluar air banjir,” katanya.

Beliau berkata, sistem tebatan banjir itu berfungsi dengan baik sejak dibina pada akhir 1980-an, selepas kawasan bandar mengalami banjir pada awal 1980-an terutamanya banjir terburuk yang sangat memusnahkan pada 1988.

Sehubungan itu, Teck Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, menyatakan kebimbangannya apabila sebahagian Lagun Likas iaitu sebidang tanah seluas 16.21 hektar atau seluas 40 padang bola sepak dizonkan untuk kegunaan komersial.

“Saya terkejut apabila baru-baru ini mendapati bahawa sebahagian Lagun Likas telah dizonkan untuk pembangunan komersial. Ini tidak sepatutnya dibenarkan,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, semakan di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) pada minggu lalu mendapati sebahagian tanah kawasan lagun untuk tebatan banjir berkenaan diluluskan kepada sebuah syarikat swasta pada 2000.

Jelas beliau, sekiranya penambakan dilakukan ke atas kawasan itu, ia akan mengakibatkan banjir yang teruk di Kampung Likas dan kawasan lain di sekitarnya.

Tegasnya, kawasan lagun terbabit perlu dikekalkan sebagai kolam takungan air untuk dijadikan saluran keluar bagi kawasan sekeliling ketika hujan lebat.

“Banjir di Taman Sri Muda di Selangor baru-baru ini sepatutnya menjadi peringatan bahawa tanah yang dimaksudkan untuk penampungan air yang kemudiannya ditebus guna untuk pembangunan mempunyai akibat yang buruk,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|