Dua parah, empat cedera kemalangan tiga kenderaan

Dua parah, empat cedera kemalangan tiga kenderaan

Kinabatangan: Tiga pemandu dan lima penumpang berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kampung Paris Satu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, dua parah dan empat lagi kecederaan ringan manakala dua lagi terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan parah selepas tempat duduk pemandu remuk akibat perlanggaran berkenaan. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.13 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

Kereta Isuzu DMax terbalik selepas bertembung dengan dua lagi kenderaan Perodua Alza dan sebuah lori. Pix ihsan Bomba

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kemalangan didapati membabitkan kenderaan Isuzu DMax, sebuah lori lima tan dan Perodua Alza.

“Semua mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh pasukan ERMS sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan dianggarkan berusia lingkungan enam hingga 39 tahun.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|