Azhar ulangi pendirian tidak terpengaruh, kekal sokong WARISAN

Azhar ulangi pendirian tidak terpengaruh, kekal sokong WARISAN

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (WARISAN), Azhar Matussin mengulangi pendiriannya untuk kekal bersama parti itu sekali gus berjuang bersama kepimpinan sedia ada.

Katanya, beliau akan terus menghormati mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Dalam tempoh sama, sebagai sahabat saya turut bersimpati dengan masalah kes mahkamah dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony.

“Keputusan Peter mengumumkan keluar WARISAN sudah diduga awal namun ini merupakan satu proses demokrasi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhar yang juga ADUN Darau berkata, keputusan Peter untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat hanya akan memecah belahkan rakyat Sabah serta masyarakat khususnya kawasan di pedalaman.

“Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Peter Anthony. Sebagai sahabat saya menghargai hubungan persahabatan selama ini,” katanya.

Azhar menjelaskan, sokongan akar umbi kepada WARISAN masih kukuh namun pemimpin sentiasa berganti dan perjuangan hak rakyat Sabah tetap diteruskan.

“Kita akan terus memperjuangkan menuntut hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Apa yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini masih belum mencukupi. Kita belum lihat pelaksanaannya. Kita masih mahu selesaikan tuntutan lain berkaitan petroleum, pelantar benua, kuasa ke atas tanah serta beberapa perkara lain,” katanya.

Azhar menegaskan, sebagai pemimpin, beliau sentiasa mengambil pendekatan untuk tidak mudah terpengaruh dengan orang lain sekali gus kekal bersama kepimpinan sedia ada.

Semalam, Peter yang juga bekas Naib Presiden WARISAN mengumumkan keluar parti bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

Peter dalam sidang medianya memaklumkan beliau akan menubuhkan sebuah parti baharu berasaskan Kadazandusun dan Murut (KDM) pada awal Januari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|