Penampang: Seorang pemandu lelaki berdepan detik cemas selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Kem Lok Kawi, Putatan, hari ini.
Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang memandu Perodua Aruz dipercayai bergerak dari arah Putatan menuju ke Lok Kawi.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam longkang pembahagi jalan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan didapati terbakar sepenuhnya dengan keadaan api juga masih marak.
“Pasukan Bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran menggunakan sumber air daripada tangki jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 6.26 pagi.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 6.41 pagi.
-Deasoka