Kenaikan harga barang harus diatasi dengan komprehensif

Kenaikan harga barang harus diatasi dengan komprehensif

Kota Kinabalu: Kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat ketika ini adalah perkara yang serius dan perlu diatasi kerajaan secara komprehensif.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan menurunkan harga barang saja tidak mencukupi sebaliknya ia perlu ditanggani dari awal di setiap rantaian pengedaran.

“Rakyat hari ini tidak ada kerja, ramai menganggur, pendapatan rakyat menurun, perniagaan ‘lockdown’, semua kedai sedang berhadapan dengan pelbagai masalah.

“Ada masalah yang dihadapi masyarakat tetapi rakyat hari-hari perlu makan dan ini bebanan perbelanjaan. Sekarang sudah tidak lockdown tetapi bagaimana mereka mendapatkan bekalan jika ada diantara mereka yang beratus ribu hilang pekerjaan,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat ketika ini.

Mohd Shafie turut berkata, selain penguatkuasaan, perlu ada pemantauan dari segi rantaian barangan itu sendiri.

“Penguatkuasaan satu bab, tetapi yang penting ialah rantaian, pekerja tidak ada atau tidak mencukupi. Contohnya kos simen dulu cuma RM20 saja sekarang harga menjunam tinggi, kos pembinaan meningkat dan kos tenaga kerja kita tidak dapat penuhi.

“Jadi sektor pembinaan berhadapan dengan pelbagai masalah, kerajaan perlu tanggani masalah ini bukan hanya dari segi pasaran, tetapi ambil penguatkuasaan daripada pembekal.

“Kerana harga di pasaran ditentukan oleh pembekal. Contoh peniaga jual ayam RM9, sekarang meningkat naik RM1 lebih. Kena lihat dari awal penternaknya, pengangkutannya, pengedarannya ia perlu ditanggani secara komprehensif,” katanya.

Sehubungan itu, Presiden Parti Warisan itu berharap isu kenaikan harga barang harus diberi perhatian dan tidak berlarutan yang akhirnya memberi kesan kepada negara.

“Kena ada pendekatan komprehensif dan tidak boleh berlarutan, saya bimbang inflasi meningkat dan hutang negara meningkat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|