‘Keluarga Malaysia’ tekankan kepentingan hubungan persaudaraan

‘Keluarga Malaysia’ tekankan kepentingan hubungan persaudaraan

Kota Kinabalu: Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai sangat signifikan dengan keadaan politik, ekonomi dan sosial di negara ini.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg, berkata pendekatan baharu itu membawa maksud bahawa perbezaan politik dalam masyarakat tidak seharusnya menjejaskan hubungan persaudaraan atau kemanusiaan dalam sebuah keluarga yang besar.

Jelasnya, di sebalik perbezaan politik dan lain-lain aspek itu, rakyat negara ini masih kekal sebagai sebuah keluarga yang wajar menyumbang buah fikiran dan tenaga ke arah mencapai aspirasi menuju sebuah negara maju.

“Boleh dikatakan bahawa konsep ini adalah satu gesaan supaya semua pihak berbuat demikian dan bukannya bermusuhan antara satu sama lain.

“Sewajarnya perbezaan ideologi politik hanyalah retorik dan asas hala tuju politik sesebuah parti tetapi hal ini bukanlah boleh menjadi dasar kepada perpecahan yang menjerumus negara kepada ketidakstabilan yang berterusan,” katanya.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri kelmarin, Ismail Sabri mengetengahkan pendekatan Keluarga Malaysia untuk menyatukan rakyat pelbagai agama dan bangsa dalam usaha menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan negara.

Sehubungan itu, Romzi berkata, kematangan semua pihak dalam memahami dan merealisasikan aspirasi yang tersirat di sebalik slogan Keluarga Malaysia amat diperlukan.

“Kita juga berharap dengan adanya slogan ini, tindakan pelbagai pihak yang cenderung menyerang peribadi dan fitnah antara satu sama lain ditamatkan kerana tanpa terhentinya hal ini, konsep keluarga tidak mungkin dapat dimartabatkan setuntas yang mungkin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|