246,000 telur ayam tampung permintaan di Sandakan

246,000 telur ayam tampung permintaan di Sandakan

Sandakan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah sentiasa memantau rantaian bekalan telur ayam khususnya di negeri ini bagi memastikan bekalan mencukupi.

Ia berikutan aduan yang diterima sejak awal bulan ini berhubung kekurangan bekalan telur ayam terutamanya di daerah Sandakan.

KPDNHEP Sabah dalam kenyataan dikeluarkan berkata, pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah menjalankan tindakan secara bersepadu bagi mengenalpasti punca berlakunya kekurangan bekalan telur ayam.

Katanya, ia seterusnya berusaha memastikan bekalan telur ayam terus dapat dipenuhi oleh pihak pemborong yang berkaitan.

“Bagi daerah Sandakan, bekalan telur ayam diperolehi daripada dua ladang iaitu Prolific Quality Sdn Bhd Sandakan dan Rich Evergreen Sdn Bhd.

“Purata pengeluaran telur ayam bagi Prolific Quality Sdn Bhd di Sandakan adalah 120,000 biji sehari manakala Ladang Rich Evergreen Sdn Bhd mampu mengeluarkan purata sebanyak 30,000 biji sehari,” katanya.

Menurutnya, purata pengeluaran bagi kedua-dua ladang penelur ayam adalah sebanyak 150,000 biji sehari manakala pengedaran bekalan telur ayam di daerah Sandakan boleh mencecah purata sebanyak 5,500 hingga 6,000 tray setiap hari di pasaran.

Katanya, kawasan pengedaran kedua-dua ladang ini pula adalah di sekitar Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Telupid.
 
“Usaha dilaksanakan dengan menambahkan punca bekalan telur ke daerah Sandakan daripada sebuah lagi ladang yang beroperasi di Tawau iaitu QL Farms Sdn.Bhd membabitkan bekalan sebanyak 56,000 tray sebulan atau purata lebih kurang 2200 tray sehari.

“Justeru itu, dengan penambahan bekalan daripada 3 ladang ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan telur ayam di pasaran daerah Sandakan mencecah purata sebanyak 8200 tray atau 246,000 biji sehari,” katanya.
 
Menurut kenyataan itu, bagi menjamin bekalan telur ayam dapat diperolehi oleh pengguna secara berterusan, beberapa langkah proaktif telah diambil termasuklah melantik 19 penanda aras iaitu 12 di sekitar Sandakan, dua di Beluran, tiga di Kinabatangan dan dua di Telupid.

Kataya, semua penanda aras ini terdiri daripada pelbagai kategori premis-premis perniagaan ini ya g akan menerima bekalan telur ayam sebanyak 100 tray (3,000 biji) setiap hari.

“Selain daripada itu, pemeriksaan berterusan juga akan dilakukan di ladang pengeluar telur ayam serta mendapatkan laporan harian berkenaan bekalan telur ayam.
 
“Permintaan terhadap produk telur ayam semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan berdasarkan maklumat yang diterima oleh Pejabat KPDNHEP Sabah mendapati bahawa bekalan barangan keperluan asas seperti gula, minyak masak (satu kilogram), telur ayam, tepung dan beras adalah bahan utama di dalam penyediaan bakul makanan untuk membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19 dibeli daripada peruncit-peruncit dalam kuantiti yang besar,” katanya.

Sehubungan itu, kenyataan itu berkata, pembelian barang keperluan asas yang berlebihan di peringkat peruncit-peruncit menyebabkan pengguna di beberapa kawasan terputus bekalan.

Katanya, pengguna terpaksa membeli daripada peruncit yang jauh sedikit atau menunggu sehingga bekalan baru sampai ke peruncit tersebut.

“Fenomena rak-rak kosong sesuatu barangan keperluan di sesebuah premis peruncit dibimbangi boleh membawa kepada reaksi negatif seperti pembelian panik dalam kalangan pengguna.
 
“Kerjasama daripada pihak NGO dan badan bantuan kemanusiaan amatlah diharapkan supaya mendapatkan bekalan barang keperluan berkenaan daripada pihak pemborong di setiap daerah dan merancang tempahan pembelian lebih awal bagi menjamin bekalan sentiasa ada dan tidak terganggu.

“KPDNHEP sangat menghargai usaha murni pihak badan bantuan kemanusiaan dan NGO dalam mengorbankan masa, tenaga dan dana demi membantu golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.
 
Sementara itu, KPDNHEP turut menyarankan agar tiada kegusaran mahupun pembelian panik dilakukan susulan permasalahan tersebut telah diberikan jaminan bekalan.

Katanya, para peniaga juga diberi peringatan untuk tidak mengambil kesempatan berhubung permasalahan ini dengan menaikkan harga jualan telur.
 
“Tindakan perundangan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 jika sekiranya seseorang peniaga itu menaikkan harga barang dengan niat untuk mengambil keuntungan berlebihan (mencatut), Notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 akan dikeluarkan kepada peniaga terbabit.

“Berdasarkan Notis berkenaan, peniaga diarahkan untuk mengemukakan dokumentasi yang membuktikan kenaikan harga barangan yang dijualnya adalah disebabkan oleh berlakunya kenaikan kos-kos yang tertentu.

“Selanjutnya analisa kenaikan kos akan dijalankan oleh pihak KPDNHEP dan sekiranya didapati bahawa kenaikan harga barangan terbabit ada unsur pencatutan, peniaga akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 14, AKHAP 2011,” tegasnya.
 
Menurutnya, kementerian ini amat mengalu-alukan kerjasama para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku perniagaan atau aduan melalui sembilan saluran aduan yang disediakan.

Katanya, semua bilik Gerakan Pejabat KPDNHEP Negeri Sabah dan Pejabat-pejabat Cawangan juga dibuka setiap hari termasuk hujung minggu dan boleh dihubungi menerusi hotline masing-masing,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

1,671 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!