Kadazandusun sanjung tinggi status wanita

Kadazandusun sanjung tinggi status wanita

Kota Kinabalu: Etnik Kadazandusun sangat menyanjung tinggi status dan kebolehan wanita sebagai pemimpin dalam masyarakat berkenaan sejak berzaman yang lampau.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeftrey Kitingan, berkata kedudukan itu sejajar dengan pengorbanan wanita dalam legenda Huminodun yang menjadi asas pertandingan Unduk Ngadau pada hari ini.

Jelasnya, kisah pengorbanan Huminodun menjadi inspirasi etnik Kadazandusun yang melampaui zaman untuk wanita menonjol sebagai anak yang baik dan memiliki ciri seorang pemimpin.

Beliau berkata, peranan wanita dalam aspek spiritual, ekonomi, sosial dan malah politik amat ketara dalam kalangan masyarakat Kadazandusun sehingga ke hari ini.

“Seperti yang kita tahu, Unduk Ngadau sangat sinonim dengan Kaamatan, ia menjadi acara kemuncak yang dinanti seluruh rakyat Sabah. Acara ini menyatukan seluruh rakyat Sabah dan dalam masa yang sama menaikkan martabat wanita muda di Sabah.

“Kisah pengorbanan seorang gadis iaitu Huminodun menjadi inspirasi wanita yang melampaui zaman melalui kualiti diri sebagai seorang wanita, anak dan ciri pemimpin muda yang sanggup berkorban diri untuk kebaikan semua orang.

“Nilai diri Huminodun sebagai Unduk Ngadau sebenar menjadi contoh terbaik kepada leluhur Kadazandusun di seluruh pelosok dunia,” katanya dalam ucapan pada Webinar Budaya bertajuk ‘Unduk Ngadau: Tradisi dan Amalan Budaya Masyarakat Kadazandusun’ sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2021, hari ini.

Jeffrey yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), bagaimanapun berkata tidak dinafikan perubahan masa akibat arus pemodenan sedikit sebanyak menghakis kefahaman mengenai kepentingan institusi Unduk Ngadau dalam masyarakat Kadazandusun hari ini.

Berikutan itu, katanya webinar pada hari ini yang disertai enam ahli panel akan membincangkan mengenai situasi itu dan peranan wanita serta Unduk Ngadau dalam masyarakat.

“Sudah pasti perkongsian ahli panel berkenaan akan menarik perhatian dan memberi ilmu yang baharu kepada semua, apatah lagi webinar ini diadakan pada hari ini, 9 Ogos 2021 yang juga Hari Orang Asal Sedunia iaitu perayaan yang dikongsi bersama oleh masyarakat orang asal di seluruh dunia,” katanya.

Webinar anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Kaamatan TV itu antara lain dianggotai Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS), Dr Benedict Topin; Pengerusi Majlis Wanita KDCA, Joanna Kitingan dan tokoh akademik, Dr Paul Porodong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|