JKNS tentukan kaedah pelaksanaan dos penggalak di Sabah

JKNS tentukan kaedah pelaksanaan dos penggalak di Sabah

Putatan: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan memaklumkan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 di Sabah selepas perincian mengenai kaedah pelaksanaannya dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memaklumkan keputusan melaksanakan pemberian dos kedua dan tindakan sewajarnya diserahkan JKNS.

“KKM sudah memaklumkan akan memulakan pemberian dos penggalak dan pihak JKNS sedang membincangkan kaedah untuk melaksanakannya.

“Pengarah JKNS akan memaklumkan nanti apabila pemberian dos penggalak sudah sedia dilaksanakan di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan penghargaan kepada petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Putatan sempena penutupan PPV berkenaan petang ini.

KKM sebelum ini meluluskan pemberian suntikan ketiga yang bermula kelmarin membabitkan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan yang sudah lengkap vaksin sekurang-kurangnya enam bulan.

Sementara itu, Shahelmey yang juga EXCO Kesihatan negeri, berkata sebanyak 16 daripada 224 PPV di seluruh Sabah masih dibuka sehingga kadar vaksinasi di negeri ini mencapai imuniti kelompok yang disasar pada awal bulan depan.

Beliau berkata, pengekalan operasi 16 PPV terbabit bagi memudahkan pemberian vaksin di beberapa daerah yang dikenal pasti masih memerlukan PPV untuk melaksanakan pemberian vaksin kepada orang ramai.

Katanya, sebanyak 208 PPV yang dikendalikan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sejak Mei lalu di seluruh negeri pula ditutup mulai petang ini.

“Berikutan penutupan itu, orang ramai yang belum menerima vaksin boleh mendapatkannya di klinik berdekatan atau di 16 PPV yang masih beroperasi di seluruh negeri, antaranya di PPV Mega Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi yang berada di Kota Kinabalu,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, berkata Putatan adalah antara daerah mencatat pencapaian vaksinasi yang baik di Sabah dengan 98.4 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin sehingga semalam.

Katanya, penduduk dewasa yang sudah menerima satu dos vaksin pula melebihi sasaran iaitu dengan catatan 106 peratus sehingga semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|