JKNS jamin bekalan ubat hospital cukup

JKNS jamin bekalan ubat hospital cukup

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi jaminan bekalan ubat untuk pesakit di Sabah sentiasa mencukupi dan tidak berlaku terputus bekalan.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata perolehan stok ubat dilakukan secara berterusan untuk memastikan kesinambungan stok.

“Pada masa ini bekalan ubat adalah mencukupi untuk tahun 2021, namun bagi memastikan semua pesakit mendapat ubat mereka, kaedah pengagihan ubat kepada individu diubah strategi.

“Pemberian bekalan ubat diubah kepada untuk tempoh dua minggu bagi setiap pesakit berbanding untuk tempoh satu atau tiga bulan sebelum ini bagi memastikan tiada pesakit yang tidak mendapat ubat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas dakwaan yang mengatakan bekalan ubat hospital di Sabah berkurangan hingga memaksa pemberian ubat kepada pesakit dikurangkan.

Dr Rose Nani berlata, JKNS sentiasa komited untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pesakit dan mengamalkan nilai budaya korporat sebagai penjawat awam.

“JKNS juga akan memastikan bekalan ubat tidak terputus untuk pesakit. Adalah dinasihatkan supaya pesakit mengunakan ubat yang diberikan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan sebaik mungkin dan mengelakkan pembaziran,” katanya.

Sementara itu, Dr Rose Nani berkata bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat, JKNS turut menyediakan Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu.

Katanya bagi kawasan Kota Kinabalu, perkhidmatan berkenaan disediakan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Klinik Kesihatan UTC Kota Kinabalu dan Klinik Kesihatan Putatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|