JDT padam hasrat Sabah FC cipta kemenangan

JDT padam hasrat Sabah FC cipta kemenangan

Kota Kinabalu: Hasrat Sabah FC mencipta kemenangan pertama di laman sendiri dalam aksi Piala Malaysia 2021 di Stadium Likas musnah selepas tewas 2 – 0 di tangan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), malam ini.

Lebih parah, gawang skuad Sang Badak itu dibolosi seawal minit keempat permainan menerusi penyerang JDT, Hazwan Bakri berikutan kesilapan pemain Sabah gagal menyempurnakan hantaran dengan baik kepada penjaga gol.

Hantaran lemah pemain bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu membuka ruang kepada anak buah Benjamin Mora untuk merampas bola dan mencipta peluang merembatkan gol

Harimau Selatan kemudiannya sekali lagi menambah jaringan hasil sepakan Gonzalo Cabrera selepas berjaya melepasi dua pemain Sabah FC pada minit ke-12.

Gol kedua JDT itu juga terhasil daripada kesilapan pemain Sabah yang gagal melakukan hantaran sempurna kepada rakan berhampiran gawang hingga membuka peluang kepada pemain lawan untuk merembatkan gol.

Terkejut dengan dua gol yang hanya berselang lapan minit itu, Sabah FC mengatur serangan balas dan berjaya menghasilkan peluang menjaringkan gol pada minit ke-15 namun sepakan Thanabalan Nadarajah hanya menerjah palang tiang gol pasukan JDT.

Sabah cuba bangkit sepanjang baki permainan di separuh masa pertama hingga bersambung tiga minit masa tambahan, namun gagal mencipta sebarang gol untuk merapatkan jurang dengan JDT.

Bersambung di babak kedua, skuad Sang Badak meneruskan lagi usaha untuk mencari gol namun masih gagal sehinggalah tamat permainan.

Satu lagi peluang untuk merembatkan gol berjaya dicipta pemain Sabah pada minit ke-86 apabila diberikan sepakan percuma di luar kota penalti JDT, namun sepakan pemain import Levy Madinda yang disambut Park Taesu itu berjaya dipatahkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Keputusan 2-0 berpihak kepada JDT dari minit awal permainan itu kekal hingga wisel penamat membolehkan JDT membawa pulang tiga mata penuh, manakala Sabah terpaksa berputih mata di hadapan lebih 6,000 penyokong yang hadir di Stadium Likas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|