Bayi lelaki ditemui rentung dalam kebakaran

Bayi lelaki ditemui rentung dalam kebakaran

Sandakan: Seorang bayi lelaki berusia setahun ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah yang terletak di tingkat tiga bangunan AIA, Jalan 2, di sini, malam tadi.

Mayat bayi dikenali sebagai Adam itu ditemui anggota bomba sebaik api berjaya dikawal daripada terus merebak.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.09 malam.

Susulan itu, katanya, seramai 18 anggota menaiki dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah di tingkat tiga yang musnah sepenuhnya dan pasukan bomba bertindak memadam kebakaran daripada terus merebak.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 12.24 tengah malam dan seorang bayi lelaki ditemui di dalam rumah bangunan enam tingkat berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya jam 12.56 tengah malam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|