Jangkitan tempat kerja, cetus dua kluster baharu

Jangkitan tempat kerja, cetus dua kluster baharu

Kota Kinabalu: Jangkitan yang berlaku di tempat kerja mencetus dua lagi kluster baharu di Kinabatangan dan Kalabakan di Sabah.

Dua kluster baharu yang dikesan itu adalah Kluster Paris Tiga-Kinabatangan dan Kluster Brumas Camp di Kalabakan, Tawau.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Paris Tiga yang dikesan Kinabatangan membabitkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu sebuah kilang sawit.

Katanya, kes indeks merupakan seorang kerana wanita berusia 41 tahun yang bergejala sejak 7 Jun lalu dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu pada 14 Jun, sebelum disahkan positif Covid-19 melalui ujian saringan RT-PCR 18 Jun lalu.

“Susulan kes itu, saringan kontak rapat mengesan 28 lagi kes positif dalam kalangan penduduk perumahan kilang berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29 kes.

“Semua kes positif telah menjalani penilaian dan pemeriksaan di Hospital Kinabatangan dan seterusnya dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC) Kinabatangan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, satu lagi kluster dikesan iaitu Kluster Brumas Camp di Kalabakan yang membabitkan penularan jangkitan dalam komuniti dan tempat kerja.

Katanya, kes indeks adalah guru lelaki di SK Brumas, berusia 50 tahun, yang juga AJK Masjid Al-Ubudiyah di Perumahan Brumas Camp dalam Ladang Perkayuan Sabah Softwood. Beliau disahkan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Tawau pada 12 Jun.

“Sehingga 22 Jun, saringan yang dijalankan terhadap 75 kontak kemudian mengesan 19 lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat, rakan sekerja dan AJK masjid yang tinggal di perumahan tersebut.

“Isteri serta dua orang anak kepada kes indeks, salah seorang yang juga merupakan pekerja di ladang itu, turut disahkan positif Covid-19,” katanya.

Tambah Masidi, sebanyak 203 kes positif baharu dilaporkan hari ini, serta satu kes kematian direkodkan di daerah Kota Kinabalu.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|