Lima lokaliti dikenakan PKPD di Sabah

Lima lokaliti dikenakan PKPD di Sabah

Kota Kinabalu: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di lima lagi lokaliti di negeri ini bermula 26 Jun hingga sehingga 9 Julai.

Lima lokaliti itu iaitu Kampung Muhibbah, Manggatal, Kota Kinabalu; Kampung Tahak, Membakut, Beaufort; Flat Indah Jaya, Sandakan; Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau; Kampung Kuala Merotai, Kalabakan.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, bagi situasi semasa kes Covid-19 Kampung Muhibbah, Manggatal, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat apabila 12 individu dikesan positif Covid-19 selepas KKM melaksanakan ujian saringan ke atas 18 penduduk di lokaliti berkenaan.

“Di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau, sehingga kini sebanyak 14 kes positif Covid-19 direkodkan hasil daripada 66 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM dengan kadar positiviti 21.21 peratus

“Manakala di Kampung Kuala Merotai, Kalabakan, pihak KKM melakukan 26 ujian saringan dan 13 daripadanya disahkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 50 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, situasi di Kampung Tahak, Membakut, Beaufort pula, sebanyak 11 kes positif Covid-19 direkodkan hasil daripada 98 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM dengan kadar positiviti 11.22 peratus.

“Manakala di Flat Indah Jaya, Sandakan, pihak KKM sudah melakukan 252 ujian saringan dan 11 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mendapati kes telah menular dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan selain menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti berkenaan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|