Kota Kinabalu: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melakukan penghantaran 20 tan bekalan makanan asas ke Labuan yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 15 Jun 21 lalu.
Antara bekalan makanan yang dihantar menggunakan pesawat A400M dari No. 22 Skuadron itu adalah seperti beras, minyak masak, sardin tin, krimer manis, sos cili, kicap, gula, garam, biskut, tepung gandum, bihun, serbuk kopi dan serbuk teh.
Misi bantuan yang dilaksanakan TUDM berkenaan adalah usahasama di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Labuan.
Difahamkan, bekalan keperluan makanan asas itu akan diagihkan kepada kira-kira 13,800 keluarga membabitkan lapan lokaliti yang dikenalpasti sebagai berisiko tinggi.
Turut dihantar dalam penerbangan kali ini ialah peralatan perubatan Covid-19 daripada KKM dan Institut Perubatan Penerbangan (IPP) serta barangan peralatan bagi Hospital Medan ATM.
TUDM dalam kenyataan media yang dikeluarkan menyatakan pihaknya akan terus komited dalam melaksanakan tugas dan bersiap sedia sebilang masa untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
Katanya, TUDM juga turut mendukung usaha kerajaan untuk memastikan masyarakat sentiasa selamat dan sejahtera terutamanya dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua anak kapal pesawat A400M terlibat, anggota PU Subang, anggota PU Labuan, Kementerian dan agensi – agensi yang turut terlibat bagi menjayakan misi penghantaran pada hari ini.
– Deasoka