Air keruh, banjir punca bekalan air bersih di Beaufort terjejas

Air keruh, banjir punca bekalan air bersih di Beaufort terjejas

Kota Kinabalu: Keadaan air sungai yang keruh, timbunan pasir dan lumpur serta kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi punca utama masalah bekalan air bersih masih berlarutan di Beaufort sejak banjir bulan lalu.

Malah lebih teruk, tahap kekeruhan air mentah dari Sungai Padas yang sering melebihi had kemampuan rawatan Loji Rawatan Air (LRA) menyebabkan tiga LRA di daerah berkenaan selalu dihentikan operasinya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, LRA Beaufort I, LRA Beaufort II dan LRA Limbawang terpaksa dihenti tugas antara dua hingga enam kali sebulan disebabkan keadaan air Sungai Padas yang terlalu keruh bagi mengelak kerosakan peralatan di ketiga-tiga loji berkenaan.

Bung ketika melawat Loji Rawatan Air (LRA) di Jempangah, Beaufort, baru-baru ini.

“Loji terpaksa dihenti tugas jika air sungai terlalu keruh kerana ia menyebabkan kerosakan peralatan mekanikal pada pam dan penapis.

“Banjir yang kerap di Beaufort memburukkan lagi keadaan menyebabkan loji terpaksa ditutup purata 10 kali sebulan disebabkan kedua-dua situasi itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Kasih Masyarakat Sabah (PKMS) yang mendesak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Kerajaan negeri untuk mengatasi segera isu bekalan air yang menghantui penduduk daerah itu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata, JANS sudah diarah agar melaksanakan penyelesaian jangka pendek dengan membina tangki pra mendapan di LRA Beaufort I dan LRA Beaufort II bagi mengatasi air keruh selain menggunakan bahan kimia yang boleh merawat masalah itu.

Katanya, JANS juga mencadangkan pengubahsuaian muka sauk di LRA terbabit bagi mengatasi masalah timbunan pasir dan lumpur, selain memastikan bekalan alat ganti loji sentiasa tersedia.

“Selain dari cadangan ini, JANS juga turut membuat penghantaran aie terawat di beberapa kawasan yang terjejas,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|