Sipitang: Seramai 500 penduduk kampung di Long Pasia dan sekitarnya akan menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Jiwa Murni (PJM) Army Combat Medic Vaccination Programme (ACMVP).
Program berlangsung selama dua hari itu adalah yang pertama dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah dengan kerjasama melalui
program bergerak kerajaan (mobile outreach), Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan sukarelawan belia kampung berkenaan.
Daerah lain seperti Tongod, Nabawan dan Semporna akan menjadi destinasi PJM yang
seterusnya dan dijangka bermula Julai hingga September ini.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, lebih banyak usaha seperti ini dapat dilaksanakan di daerah lain untuk mempercepatkan proses vaksinasi.
“Setakat 23 Jun, lebih daripada 350,000 orang sudah menerima
vaksin termasuk kira-kira 10,000 anggota tentera manakala lebih 30 peratus
telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
“Kita berharap dapat mencapai 30,000 orang yang disasarkan untuk diberi vaksin setiap
hari mulai Julai ini apabila lebih banyak vaksin disediakan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Long Pasia terletak di kawasan pedalaman negeri ini iaitu kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu dan menempatkan kira-kira 1,000 penduduk.
Dalam perkembangan lain, Hajiji turut mengumumkan peruntukan sebanyak
RM570,000 untuk dua jambatan gantung, gereja, pos tentera dan menarik taraf sekolah di kawasan itu.
Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa; Menteri
Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya dan Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.
– Deasoka
tama