Jadual SPM 2021 perlu diubah – Madius Tangau

Jadual SPM 2021 perlu diubah – Madius Tangau

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang dijadualkan pada 3 Mac hingga 20 Mac tahun depan.

Beliau mendakwa jadual yang diberikan kurang sesuai kerana peperiksaan turut diadakan pada hari Jumaat dan Ahad yang sepatutnya adalah hari untuk berehat.

Katanya, penyediaan jadual peperiksaan itu juga melanggar prinsip Rukun Negara berkaitan kebebasan rakyat negara ini menunaikan tanggungjawab terhadap agama dan kepercayaan masing-masing.

“Seperti yang kita sedia maklum, hari Jumaat adalah hari bagi seluruh penganut agama Islam menunaikan sembahyang Jumaat.

“Ahad pula adalah hari bagi umat Kristian yang ada di Malaysia seperti penganut Roman Katolik, Anglican, Basel dan beberapa lagi dominasi yang lain untuk pergi ke gereja, selain ada juga agama Kristian seperti Seventh-Day Adventist (SDA) yang penganutnya pergi ke gereja pada hari Sabtu.

“Justeru, jadual peperiksaan SPM yang disediakan Kementerian Pendidikan jelas melanggar kandungan yang pertama dan paling utama Prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas jadual peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan Kementerian Pendidikan pada 17 November lalu yang menimbulkan pelbagai reaksi kerana mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat dan Ahad.

Madius berkata, sebagai sebuah negara yang berpaksikan prinsip Rukun Negara sebagai tiang seri perlembagaan, perkara itu tidak seharusnya berlaku.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, jadual peperiksaan sepatutnya tidak jatuh pada tarikh di mana warga Malaysia menunaikan kewajiban terhadap kepercayaan masing-masing.

Berikutan itu, beliau mendesak agar kerajaan membatalkan dan meminda tarikh peperiksaan SPM khususnya yang jatuh pada hari Jumaat dan Ahad, termasuk Sabtu ke tarikh lain yang tidak berkaitan untuk mana-mana warga negara Malaysia menunaikan kewajiban terhadap kepercayaan masing-masing.

Tambahnya, perubahan tarikh jadual peperiksaan juga perlu diselaraskan semula atas keprihatinan terhadap kebajikan guru seperti mana yang dinyatakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|