Aktiviti riadah keluarga berakhir tragedi kanak-kanak lemas

Aktiviti riadah keluarga berakhir tragedi kanak-kanak lemas

Kudat: Aktiviti riadah mandi-manda sekeluarga di Pantai Kampung Bangau, di sini, berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak lemas, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kanak-kanak berusia 3 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.13 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara permukaan di lokasi sekitar pantai berkenaan.

“Mangsa akhirnya berjaya ditemui pasukan SAR bersama penduduk kampung pada jam 4.25 petang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 6.29 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|