Tawau: 10 rumah di Kampung Jati, di Batu 5, Jalan Apas, di sini, dilaporkan musnah selepas terbakar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 6.21 pagi.
Katanya, seramai 16 anggota bersama jentera dikejar ke lokasi kejadian yang terletak 10 kilometer dari balai bomba.
Pasukan bomba sedaya upaya memadamkan kebakaran membabitkan 10 rumah di Kampung Jati, Jalan Apas Batu 5, Tawau. Pix ihsan Bomba
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan 10 rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal berikutan kedudukan jarak rumah yang terlalu rapat.
“Operasi memadamkan kebakaran segera dijalankan dengan mendapatkan sumber air terbuka dari sungai berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Julius berkata, api berjaya dikawal pada jam 6.50 pagi dan hasil pemeriksaan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
“Operasi memadamkan kebakaran masih giat dijalankan dan maklumat terkini keadaan operasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka