PMU Penampang mampu baiki sistem bekalan elektrik

PMU Penampang mampu baiki sistem bekalan elektrik

Kota Kinabalu: Pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) Penampang yang dijangka siap pada awal tahun 2022 akan mampu menambahbaik kestabilan sistem bekalan elektrik.

Pencawang dengan kapasiti 2x90MVA transformer 132/33kV akan mengurangkan gangguan terutamanya di kawasan bandar utama sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dan projek pembinaan PMU berkenaan sedang berjalan dengan kos bernilai RM 79.5 juta.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd Ir. Idris Mohd Noor berkata demikian bagi mengulas kejadian talian dan beberapa pencawang elektrik SESB terpelantik Ahad lalu sehingga menyebabkan beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan.

Katanya, kejadian jam 9.11 malam itu Ahad lalu itu membabitkan kerosakan kabel dan alatsuis pencawang yang mengakibatkan dua pencawang utama terputus bekalan iaitu Pencawang Masuk Utama Karamunsing dan Pencawang Pembahagian Utama Kundasang.

“Gangguan bekalan yang berlaku ini melibatkan pengguna di sekitar Karamunsing, Kiulu, Pekan Nabalu dan Kundasang dengan anggaran jumlah kehilangan beban oleh SESB sebanyak 14MW yang meliputi hampir 13,536 pengguna.

“Impak gangguan boleh dimitigasikan sekiranya PMU Penampang yang baharu berkenaan siap kelak dengan adanya redundansi atau kabel tambahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, seramai 30 anggota kerja teknikal SESB sedang bertungkus lumus untuk melaksanakan proses pemulihan di tapak dan juga melalui Pusat Kawalan Grid SESB.

Katanya, bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat bermula pada jam 9.45 malam yang melibatkan kawasan Kundasang.

“Manakala pada jam 11.10 malam pula untuk kawasan Karamunsing manakala kawasan lain yang terjejas mendapat bekalan secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada jam 4.50 pagi tadi.

“Untuk tujuan memastikan bekalan dapat diberikan dengan kadar segera, sebanyak enam generator bergerak digunakan dalam usaha memulihkan bekalan ke seluruh kawasan yang terjejas.

“Kerja-kerja pemulihan kabel yang rosak di seksyen Karamunsing-Kota Kinabalu serta pembaikan peralatan suis di Pencawang Masuk Utama Penampang dan Pencawang Masuk Utama Karamunsing masih lagi dalam tindakan pembaikan oleh pihak SESB dan punca kerosakan masih disiasat,” katanya.

Idris berkata, pengguna yang memerlukan maklumat lanjut adalah dinasihat untuk berhubung dengan SESB Careline 15454, atau 088- 515000.

Katanya, maklumat juga boleh diperolehi melalui aplikasi Whatsapp 019 852 5427 atau menggunakan aplikasi mySESB yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|