Isu vaksinasi, kerajaan tidak bercadang beri kad pengenalan kepada PATI: Hajiji

Isu vaksinasi, kerajaan tidak bercadang beri kad pengenalan kepada PATI: Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri tidak bercadang memberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sabah yang melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini memandangkan kerajaan mengambil kira dan sentiasa memelihara hak keselamatan dan kepentingan rakyat di negeri Sabah.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa memelihara hak keselamatan dan kepentingan rakyat negeri ini dan tidak bercadang memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sabah melibatkan PATI.

“Walaubagaimanapun Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan orang asal yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penjelasan kepada pertanyaan wakil rakyat pembangkang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedict dalam sesi sidang mesyuarat pertama penggal kedua DUN Sabah, di sini, hari ini.

Ewon terdahulu bertanyakan soalan tambahan dalam sesi sidang dewan berhubung status cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu memberikan kad pengenalan kepada penerima vaksin berstatus bukan warganegara di Sabah.

Untuk rekod, baru-baru ini, KDN melalui Timbalannya, Datuk Seri Ismail Mohamed Said mendedahkan pihak kementerian itu akan mempertimbang untuk memberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin yang tidak mempunyai kewarganegaraan dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun dengan ulasan Ketua Menteri di Sidang DUN hari ini sekaligus menjelaskan pendirian Kerajaan Negeri berhubung isu berkenaan dengan tidak bercadang untuk memberikan sebarang status kewarganegaraan kepada penerima vaksin bukan warganegara.

Terdahulu, dalam sesi yang pertama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya menjelaskan bagi yang bukan warganegara menerima vaksin di negeri ini adalah di kalangan mereka berdaftar.

Jelas Shahelmey, jumlah populasi yang diberikan oleh Jabatan Perangkaan negeri Sabah setakat tahun 2020 adalah melibatkan 3,908,500 orang dengan daripada jumlah tersebut 1,0094,145 adalah bukan warganegara.

“Daripada jumlah populasi tersebut, untuk mencapai komuniti kelompok kita mengira jumlah populasi 18 tahun ke atas yang mana sasarannya adalah seramai 2,758,400 dewasa.

“Apa yang dilakukan setakat ini bagi bukan warganegara untuk mendapatkan vaksin bagi mereka yang didaftarkan nama mereka,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ewon berhubung jumlah bukan warganegara di Sabah telah diberikan vaksin setakat ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|