Isu SOP negeri, Bersatu Sabah suarakan sokongan kepada Hajiji

Isu SOP negeri, Bersatu Sabah suarakan sokongan kepada Hajiji

Kota Kinabalu: Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah terus menyuarakan sokongan terhadap Ketua Pimpinan parti itu di Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sokongan itu dilakukan kepada beliau (Hajiji) yang memberi pendekatan terhadap pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1, semalam.

Menurut Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Razali Razi (gambar) , tindakan Hajiji dilihat wajar dan seharusnya mendapat sokongan dan dokongan semua pihak tanpa mengira fahaman politik atas beberapa faktor.

“Kes jangkitan Covid-19 harian bagi negeri Sabah berada di bawah angka yang rendah dan terkawal, atau dengan kata mudah, Sabah bukan berada dalam kategori negeri yang merekodkan kadar jangkitan harian yang tinggi.

“Keduanya, adalah sesuatu yang tepat, Kerajaan Negeri membenarkan beberapa sektor ekonomi dan perniagaan terpilih untuk beroperasi dengan mematuhi SOP PKP 3.0.

“Kebenaran sektor ekonomi dan perniagaan beroperasi akan dapat mengurangkan tekanan dan bebanan kewangan yang dihadapi oleh para peniaga kerana tidak dibenarkan beroperasi untuk suatu tempoh yang lama akibat pelaksanaan PKP 3.0,” katanya.

Sementara itu, Razali turut menjelaskan, SOP perlu lebih fleksibel khususnya untuk negeri yang mencapai kadar dan kes jangkitan Covid-19 yang rendah.

” Adalah adil dan bertepatan bahawasanya hasrat dan usaha Ketua Menteri Sabah ini, kerana beliau melihat rakyat negeri ini sudah memberikan yang terbaik dalam pematuhan SOP dan usaha rakyat bersama-sama pasukan barisan hadapan (frontliners) memerangi pandemik, “katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan bersama itu turut menyentuh keputusan berkenaan juga menunjukkan Kerajaan Negeri dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai hala tuju tersendiri dengan mengambil maklum rintihan rakyat di negeri ini.

” Ia khususnya membabitkan aspek kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat yang mendepani pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP untuk suatu tempoh masa yang lama.

” Namun demikian, kepimpinan kita mesti tegas dan komited, agar kelonggaran ini dipantau sepenuhnya.

” Jika rekod jangkitan harian meningkat melebihi angka 200, adalah menjadi kewajaran untuk Kerajaan Negeri mengambil Tindakan Pencegahan termasuk mengetatkan dan menghadkan semula kebenaran operasi beberapa sektor ekonomi dan perniagaan,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|