Ismail Sabri selesai angkat sumpah PM Ke-9

Ismail Sabri selesai angkat sumpah PM Ke-9

Kuala Lumpur: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, tepat jam 2.30 petang tadi.

Berikutan itu, sahlah sudah pelantikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada Isnin lalu.

Pelantikan Ismail Sabri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang diputuskan selepas Yang di-Pertuan Agong berpuas hati terhadap jumlah sokongan diterima beliau.

Sebelum ini seramai 220 Ahli Parlimen mengemukakan akuan bersumpah (SD) kepada Istana Negara bagi mencalonkan nama Perdana Menteri yang disokong masing-masing

Berdasarkan SD berkenaan, seramai 114 Ahli Parlimen mencalonkan Ismail Sabri sekali gus membolehkannya memperolehi majoriti cukup untuk membentuk kerajaan.

Selain mengemukakan SD, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen pada 19 Ogos lalu untuk mengesahkan kepercayaan mereka terhadap Ismail Sabri.

Pengumuman pelantikan Ismail Sabri oleh Istana Negara selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu semalam mendapat maklum balas positif pemimpin pelbagai parti yang antara lain menyifatkan beliau sebagai orang paling tepat mengambil alih jawatan tertinggi kerajaan persekutuan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|