Individu lengkap vaksin boleh masuk Sabah tanpa kuarantin

Individu lengkap vaksin boleh masuk Sabah tanpa kuarantin

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri membenarkan individu yang masuk ke Sabah atas urusan rasmi tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin apabila tiba di negeri ini.

Kebenaran itu dimasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua bagi negeri Sabah yang dikemas kini hari ini.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata, ia hanya untuk individu lengkap vaksin dan berada di negeri ini dalam tempoh tiga hari.

Katanya, bagi urusan rasmi melebihi tiga hari yang membabitkan individu lengkap vaksin, kelonggaran sama turut diberikan, namun perlu membuat pemantauan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, kemasukan ke Sabah hanya perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disahkan negatif COVID-19 melalui saringan RT-PCR tiga hari sebelum perjalanan.

“Bagi individu belum lengkap vaksin yang masuk ke Sabah atas urusan rasmi dalam tempoh tiga hari, mereka wajib menjalani kuarantin selama 10 hari dan ujian RTK – Antigen pada hari kelapan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Selain untuk urusan rasmi, katanya kemasukan ke Sabah hanya dibenarkan atas kebenaran polis, negatif ujian RT-PCR tiga hari sebelum bertolak, tidak bergejala dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Sementara itu, Masidi berkata individu yang keluar dari Sabah ke Sarawak dan Labuan atas urusan tertentu juga perlu menjalani ujian RT-PCR tiga hari sebelum bertolak selain tertakluk kepada syarat ditetapkan pihak berkuasa di negeri terbabit.

Bagaimanapun, katanya larangan pergerakan individu keluar masuk di antara Labuan dan tanah besar Sabah melalui jalan laut yang dikuatkuasakan sejak awal tahun ini masih dikekalkan kecuali untuk urusan kecemasan dengan kebenaran PDRM, pihak berkuasa negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Hanya individu yang keluar dari Sabah ke Semenanjung tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Keluar masuk pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak berumur bawah 18 tahun juga dibenarkan, namun hanya untuk mereka yang lengkap vaksin dan mendapat kebenaran polis, selain tertakluk kepada syarat kemasukan ditetapkan kerajaan negeri,” katanya.

Sabah hari ini mencatat 2,246 kes baharu COVID-19 sebanyak 28 kes kematian iaitu 13 kes di Tawau, diikuti lapan kes di Sandakan, tiga kes di Papar, manakala masing-masing satu kes di Kudat, Kota Marudu, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|