Kota Kinabalu: Hasil siasatan bahagian forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mendapati kebakaran mengorbankan empat sekeluarga, di Taman Hungab, Penampang, Selasa lalu, berpunca dari bebanan elektrik di tingkat bawah rumah.
Siasatan turut mendapati bebanan api berlebihan menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih cepat dan jangkaan api bermula jam 2.32 pagi.
Menjelaskan perkara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail berkata, mangsa juga dipercayai tidak berjaya menyelamatkan diri kerana bahagian bawah rumah dipenuhi api.
Selain itu katanya, semua tingkap rumah serta pintu keluar juga dilengkapi jerigi dan berkunci menyebabkan mangsa terperangkap.
“Berdasarkan rekod, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba ditempat kejadian pada jam 3.04 pagi.
“Kelewatan ini diakibatkan oleh nota panggilan yang dicetak tertera alamat tidak tepat. Ia diberikan salah seorang pemanggil pada awal pagi berkenaan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Md Ali berkata, kesilapan alamat itu menyebabkan pasukan bomba tersasar dan terpaksa mendapatkan maklumat sebenar untuk ke lokasi kebakaran sebenar.
Katanya, semasa ketibaan, pasukan bomba mendapati bahawa api sudah merebak di bahagian bawah dan atas rumah.
Sementara itu, Md Ali berkata, pihak Pusat Panggilan MERS999 menerima empat panggilan kecemasan dalam kejadian itu dan panggilan pertama diterima pada jam 2.49 pagi.
Katanya, terdapat tiga pusat panggilan di seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching yang mana salah satu pusat panggilan itu akan menerima panggilan kecemasan 999.
“Pada peringkat awal, petugas Pusat Panggilan MERS 999 mendapatkan empat maklumat asas berkenaan nama pemanggil, nombor telefon pemanggil, jenis kecemasan dan alamat lokasi kejadian.
“Maklumat itu kemudiannya disalurkan melalui Sistem Penghantaran Terbantu Komputer (Computed-aided Dispatch – CAD) kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM, Negeri Sabah dan Balai Bomba dan Penyelamat Penampang.
“Pihak JBPM menerima maklumat berkenaan pada jam 2.52 pagi dan terus menggerakkan sepasukan anggota bomba ke lokasi kebakaran kebakaran,” katanya.
Md Ali berkata, pada masa sama, petugas Pusat Panggilan MERS999 masih lagi meneruskan panggilan untuk mendapatkan maklumat tambahan berdasarkan Protokol Kebakaran yang mana maklumat tambahan ini disalurkan kepada PGO JBPM Sabah dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi membantu pihak JBPM merancang strategi tindak balas operasi sebelum panggilan berkenaan dipanjangkan kepada PGO JBPM Sabah.
“Untuk makluman, terdapat dua lagi panggilan kebakaran berkenaan disambung ke PGO JBPM Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Md Ali mewakili JBPM menzahirkan kesedihan dan mengucapkan takziah ke atas keluarga mendiang empat sekeluarga iaitu Matthew Wong, 50, Jecky Vun Kon Fung, 47, serta dua anak mereka iaitu Brendan Wong, 18, dan Eric Wong, 15 tahun.
-Deasoka