Kota Kinabalu: Semua pihak harus bekerjasama menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan ikhlas bagi melaksanakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sekiranya tanggungjawab ini digalas dengan telus, kepercayaan kepada kerajaan negeri akan sentiasa tersemat di hati rakyat.
Katanya, seluruh rakyat Sabah juga diseru supaya sepakat membangunkan negeri tercinta tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.
“Negeri Sabah yang diberkati dengan pelbagai kaum etnik adalah satu kebanggaan untuk kita terus bersatu padu, saling hormat menghormati dan faham memahami.
Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin memotong kek di majlis itu sambil diperhatikan oleh Toh Puan Norlidah R M Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan perpaduan kerana perpaduan adalah tunjang kepada kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan negeri sempena Perayaan Hari Jadi Rasmi Ke-68, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sabah, di SICC, malam tadi.
Hajiji berkata, sempena setahun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disambut baru-baru ini, beliau dan semua rakan pimpinan GRS juga komited untuk memberikan yang terbaik demi kemajuan, pembangunan serta kesejahteraan rakyat dan negeri ini.
Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat terutamanya ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak lebih setahun lalu.
Katanya, kerajaan memahami keluhan dan masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti kehilangan ahli keluarga tersayang, perniagaan terjejas, kehilangan pekerjaan dan punca mata pencarian.
“Justeru, kerajaan menghulurkan pelbagai bantuan prihatin kepada rakyat antaranya Pakej Bantuan Sabah Prihatin (BSP) yang menyasarkan bantuan tunai ‘one-off’ yang disalurkan secara langsung kepada rakyat yang terjejas pendapatan.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua rakyat supaya bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 dengan mematuhi peratura atau prosedur operasi standard (SOP) setiap masa.
“Saya percaya dengan usaha kita bersama-sama, pasti kita akan menang dan seterusnya, dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala dengan norma baharu,” katanya.
Selain itu, Hajiji berkata, kerajaan turut prihatin terhadap mereka yang terjejas teruk akibat banjir lumpur dan tanah runtuh baru-baru ini terutama sekali di Kampung Sugud, Penampang.
Katanya, kerajaan negeri amat berbangga dan ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menghulurkan derma dan bantuan kepada mangsa termasuklah sumbangan dari Yayasan Nur Juhar.
“Kita bersyukur kerana negeri Sabah berada dalam keadaan yang aman damai, harmoni serta sejahtera, di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin.
“Ini jelas menunjukkan bahawa semangat kekitaan dan bersatu padu tersemai dalam kalangan rakyat Negeri Sabah.
“Ungkapan “Kita Jaga Kita”, biarlah kita gunakan, bukan saja untuk pandemik ini tapi untuk semua amalan permuafakatan kita,” katanya.
Hajiji berkata, dengan semangat kekitaan dan perasaan kasih sayang serta pertanggungjawaban sesama kita, Negeri Sabah akan terus mara dan maju ke hadapan demi kesejahteraan, kelestarian dan kemakmuran kita bersama.
-Deasoka