65.2 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

65.2 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

Kota Kinabalu: Penduduk dewasa lengkap vaksin di Sabah meningkat kepada 65.2 peratus semalam, selepas lebih seminggu mencapai sasaran 60 peratus populasi dewasa lengkap vaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peratusan itu mewakili 1,799,391 orang daripada hampir tiga juta penduduk dewasa yang layak divaksin.

Beliau berkata, penduduk dewasa menerima satu dos vaksin pula mencapai 74.2 peratus semalam atau mewakili 2,046,947 orang.

“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima satu dos vaksin Covif-19 setakat 1 Oktober 2021 adalah seramai 2,313,662 orang. Ini meliputi 2,046,947 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 74.2 peratus jumlah penduduk dewasa.

“Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap pula adalah seramai 1,799,723 orang. Daripada jumlah ini, seramai 1,799,391 orang atau 65.2 peratus adalah penduduk dewasa,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, vaksinasi harian Covid-19 di Sabah pula mencatat seramai 22,105 orang menerima vaksin semalam, dengan seramai 16,734 orang penduduk dewasa, manakala 5,371 adalah remaja.

Tambahnya, setakat semalam, seramai 266,715 orang atau 62.6 peratus remaja berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun di Sabah sudah menerima satudos vaksin, manakala seramai 332 orang sudah lengkap vaksin.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata kes harian Covid-19 di negeri ini terus menunjukkan penurunan dengan hanya 784 kes dilaporkan hari ini berbanding 873 kes, semalam.

Katanya, aliran penurunan kes baharu Covid-19 Sabah dibantu penurunan kes di kebanyakan daerah, malah semua daerah hanya mencatat kes dua angka dengan jumlah tertinggi 79 kes di Kota Kinabalu, manakala satu daerah iaitu Kalabakan tidak mencatat sebarang kes baharu hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|