Ibadah korban di Sabah sedang diteliti

Ibadah korban di Sabah sedang diteliti

Kuala Penyu: Ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Sabah masih dalam proses perbincangan dan penelitian berdasarkan keadaan semasa pandemik Covid-19 sebelum sebarang keputusan diambil.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perbincangan itu dibuat antara kerajaan negeri bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Majlis Fatwa Negeri Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Katanya, perbincangan berkenaan juga akan turut mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan sama ada ibadah korban tahun ini boleh diadakan atau sebaliknya.

“Sebarang keputusan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan akur dengan segala arahan dalam usaha menjaga keselamatan dan membendung penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Sumbangan Musaadsah 3.0 Kepada Pekerja-Pekerja Bot Laju Menumbok – Labuan bertempat di Pejabat Daerah Kecil Menumbok, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali dan Pengurus Besar Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Salman Nurillah.

Sementara itu, berhubung program hari ini, Mohd Arifin berkata ia adalah sumbangan kewangan dan makanan daripada pihak MUIS, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah dan YADIM.

Katanya, sumbangan berkenaan diberikan kepada pengusaha dan pekerja bot laju Menumbok -Labuan yang terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|