Hazani antara aset terbaik untuk KDNKA

Hazani antara aset terbaik untuk KDNKA

Kota Kinabalu: Datuk Hazani Ghazali adalah calon yang paling sesuai untuk menjawat jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) atas pengalaman berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini adalah satu jawatan yang penting dalam operasi pasukan PDRM.

Katanya, beliau yakin dan percaya Hazani akan dapat memberikan fokus kepada ancaman yang berbentuk subversif dan jenayah rentas sempadan.

“Kita sedia maklum bahawa negara ini mempunyai sempadan yang sangat terbuka bukan saja di pantai timur Sabah, bahkan juga di sempadan utara semenanjung Malaysia, pantai Johor serta sepanjang sempadan Sarawak dan Kalimantan.

“PDRM berpandangan Datuk Hazani Ghazali adalah calon yang paling sesuai untuk menjawat jawatan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Acryl berkata, perlantikan beliau ini akan memastikan segala tugas-tugas di Jabatan KDNKA akan dapat diteruskan dan ditingkatkan kepada tahap yang lebih cemerlang lagi.

Katanya, negara mempunyai daya tarikan, berjiran dengan mereka yang datang dalam apa juga tujuan sama ada aspek ekonomi dan sebagainya.

“Negara kita bukan saja dilanda dengan pandemik wabak Covid-19, tetapi juga berhadapan dengan ancaman dan cabaran di kawasan persempadanan.

“Ini melihat kepada kemasukan elemen-elemen warga asing yang mungkin akan menjejaskan lagi usaha kerajaan dalam usaha untuk kita mengekang dan mengawal merebaknya wabak COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Acryl berkata, perletakan Datuk Idris Abdullah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu adalah berdasarkan pengalaman beliau.

Katanya, beliau adalah seorang pegawai yang sangat berpengalaman dari aspek siasatan jenayah dan sebelum ini pernah berada di kontinjen sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri.

“Saya juga sangat yakin beliau akan dapat menggalas tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang akan disokong padu oleh semua pegawai dan anggota warga Sabah termasuklah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Ia adalah usaha kita untuk memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman di negeri Sabah ini akan terus dapat dikekalkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|