HMCC beri khidmat nasihat kepada pesakit Covid-19

HMCC beri khidmat nasihat kepada pesakit Covid-19

Kota Kinabalu: Home Monitoring Call Centre atau HMCC yang berfungsi untuk menghubungi pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah diaktifkan semula.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, tujuan pengaktifan itu adalah untuk memberi khidmat kaunseling dan nasihat menerusi panggilan telefon kepada pesakit.

Katanya, setakat ini, pusat berkenaan sudah membuat panggilan kepada lebih 8,000 pesakit membabitkan empat kawasan utama iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Tawau.

“Bagi pesakit Covid-19 yang menjalankan kuarantin di rumah masing-masing, mereka adalah yang dijangkiti virus pada tahap satu dan dua.

“Mereka yang menjalani kuarantin di rumah ini diharap sentiasa bertenang selain mendapat panduan dan khidmat nasihat yang bersesuaian serta perkembangan terkini status kesihatan mereka,” katanya selepas melawat pusat HMCC di Wisma Muis, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Lee Chun Khiong, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pegawai Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr D Prabakaran Solomon dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Jais Asri.

Shahelmy berkata, semua pesakit itu boleh diketahui sama ada mereka boleh terus berada di rumah menjalankan kuarantin atau memerlukan bantuan kesihatan daripada klinik dan hospital berdekatan.

Katanya, perkhidmatan HMCC itu menunjukkan satu lagi usaha kerajaan yang prihatin terhadap kesejahteraan dan kesihatan rakyat Sabah.

“Saya difahamkan, HMCC adalah satu-satunya yang pertama dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey turut menasihatkan mereka yang diberikan gelang kuarantin supaya bertanggungjawab untuk tidak keluar dari rumah.

“Mereka yang diberikan gelang ini perlu bertanggungjawab kepada diri dan masyarakat kerana boleh menimbulkan risiko kepada orang ramai.

“Setiap individu patut bertanggungjawab dan memainkan peranan dalam mengekang penularan jangkitan Covid-19 ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|