Kuala Lumpur: MARA Corporation mengambil inisiatif mengedarkan Pek MC Prihatin sebagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan yang banyak berkorban sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Pengarah Bahagian Korporat Kumpulan MARA Corporation, Mohd Firdaus Zubir, berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) badan berkenaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Katanya, sumbangan itu sejajar dengan tema Malaysia Prihatin sebagai penghargaan terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR).
“Berpanas dan berhujan selain berembun dinihari ke senja sudah menjadi asam garam serta rutin tugas anggota polis ATM dan RELA yang bertugas SJR sejak negara dilanda pandemik. Bagi petugas hadapan atau frontliner ia adalah perkara biasa dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
“Walaupun sumbangan setiap frontliner berbeza tetapi tujuan mereka adalah sama, untuk membantu rakyat Malaysia dari segi perubatan, keselamatan, mahupun penghantaran.
“Sama seperti semua frontliner lain, mereka ini juga bekerja tak kira siang, malam, hujan ataupun panas. Yang penting, mereka dapat laksanakan tugas mereka dengan betul dan amanah,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Pek MC Prihatin sumbangan MARA Corporation berjaya diedarkan kepada petugas barisan hadapan negara di beberapa lokasi SJR sebagai tanda penghargaan MARA Corporation terhadap pengorbanan mereka.
Pek berkenaan katanya dilengkapi set hidangan siap dibungkus dalam bekas makanan guna semula, air, buah dan set sanitasi nano mist serta pelitup muka boleh guna semula.
“Ini adalah sebahagian daripada CSR syarikat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021,” katanya.
-Deasoka