Tekad hapus transit dadah

Tekad hapus transit dadah

KOTA BELUD: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah amat serius dalam usaha menghapuskan persepsi Sabah sebagai pusat transit dadah sebelum diedarkan ke negara jiran.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, ia berikutan pendedahan negara jiran Indonesia sebelum ini bahawa 13 kes sindiket pengedaran dadah di negara mereka berkaitan dengan penghantaran dari Sabah.

“Setakat ini, sebanyak 13 kes berjaya dipatahkan pihak berkuasa negara jiran dan mereka mendapati semua dadah itu diseludup masuk dari Sabah.

“Malah kejayaan terbesar pihak berkuasa Indonesia adalah berjaya merampas 208 kilogram dadah yang dibawa masuk ke Sabah sebelum dieksport semula ke negara jiran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Belud di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, hari ini.

Pada majlis berkenaan, serah terima tugas dijalankan antara pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud Asisten Superintendan Mohd Airul Sukri kepada Superintendan Sahimi Husin.

Hazani berkata, pihaknya akan menjalankan operasi pembanterasan secara serius dalam usaha menghapuskan gelaran Sabah sebagai pusat transit dadah.

Katanya, masyarakat dinasihatkan supaya tidak berkerjasama dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan selain membantu menyalurkan maklumat untuk tindakan pembanterasan berterusan.

“Saya juga memberi amaran kepada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dalam aktiviti dadah.

“Sesiapa yang terbabit akan dikenakan tindakan dan hukuman berat yang setimpal dengan jenayah berkenaan,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|