Hajiji hargai komitmen PM utamakan pembangunan Sabah dalam RMKe-12

Hajiji hargai komitmen PM utamakan pembangunan Sabah dalam RMKe-12

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dibentangkan di Parlimen hari ini sebagai bukti kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa pembangunan di Sabah.

Beliau berkata tumpuan yang diberikan kepada Sabah dalam pelan pembangunan lima tahun itu turut membuktikan Perdana Menteri melaksanakan apa yang dikatakannya sebelum ini.

Jelasnya, ketika sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, Ismail Sabri memberi jaminan semua isu berkaitan Sabah dan Sarawak, khususnya yang membabitkan pembangunan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diberikan perhatian.

“Kita gembira Perdana Menteri mengotakan apa yang dikatakannya sebelum ini dengan menggariskan pembangunan Sabah dan lima negeri kurang maju di seluruh negara dalam fokus kesembilan RMKe-12,” katanya dalam kenyataan, hari sini.

RMKe-12 yang bertemakan Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif dan Mapan itu antara lain menggariskan komitmen Ismail Sabri dalam memastikan isu dan tuntutan MA63 diselesaikan bagi memacu pembangunan sosio ekonomi di Sabah dan Sarawak.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri juga berharap agar kerajaan persekutuan dapat menyediakan tempoh masa untuk menyelesaikan isu MA63.

Beliau turut mengalu-alukan jaminan Ismail Sabri bahawa Sabah dan Sarawak dan negeri kurang maju yang lain akan mendapat 50 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan asas di bawah RMKe-12.

“Ini sudah tentu memberi jaminan kepada kita bahawa Sabah akan kekal dalam arus pembangunan utama negara.

“Kita juga mengalu-alukan usaha kerajaan mengukuhkan keselamatan khususnya di Sabah dalam fokus keempat RMKe-12 yang akan menyaksikan pembinaan kem tentera yang baharu di Kota Belud dan FELDA Sahabat, Lahad Datu serta kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghargai komitmen kerajaan Pusat meningkatkan pembekalan elektrik di Sabah menerusi pelaksanaan projek menaik taraf grid tenaga timur – barat Sabah dan pembinaan janakuasa baharu untuk meningkatkan kapasiti tenaga elektrik di negeri ini.

“Satu lagi sistem grid iaitu Grid Selatan Sabah yang tidak disebut dalam RMKe-12 diharap dapat dimasukkan sekali untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang kerana ia menjadi keutamaan kepada negeri ini.

“Kita juga gembira dengan pembinaan pos kawalan baharu di sempadan Malaysia – Indonesia dalam RMKe-12 di Manalun, Simanggaris dan Kalabakan,” katanya.

Beliau sebelum ini menekankan kepentingan membina Pusat Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) di sempadan Sabah – Kalimantan sejajar dengan keputusan kerajaan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke wilayah berkenaan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah juga menghargai penyediaan peruntukan RM3.1 bilion melalui pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi meningkatkan liputan internet dan telekomunikasi terutama di kawasan luar bandar negeri ini.

Sabah juga menerima beberapa projek pembangunan dalam RMKe-12, antaranya menaik taraf Jalan Dudar – Taburan – Mandawang di Kota Belud dengan kos RM101 juta dan pembinaan klinik kesihatan yang baharu di Beaufort serta Penampang.

Sementara itu, Hajiji berharap pelaksanaan projek pembangunan RMKe-12 di Sabah dipantau sebaik mungkin bagi memastikan ia disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Di pihak kerajaan negeri, katanya beliau memberi jaminan akan memberi sokongan penuh dan kerjasama bagi memastikan program pembangunan dalam RMKe-12 di Sabah dilaksanakan dengan jayanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|