Hajiji arahkan semua agensi bertindak segera pulihkan kesan bencana di Penampang

Hajiji arahkan semua agensi bertindak segera pulihkan kesan bencana di Penampang

Kota Kinabalu: Semua agensi dan jabatan berkaitan termasuk syarikat utiliti sudah diarah untuk melaksanakan segera pemulihan bencana di kawasan terjejas banjir di Penampang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sedang giat melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Katanya, JKR giat menggerakkan jentera untuk pembersihan dan pembaikan kawasan tanah runtuh serta jalan raya yang terputus akibat banjir bagi memudahkan pergerakan keluar masuk di kawasan terjejas.

“JANS sudah diarah melakukan pembaikan dan penyambungan bekalan air paip yang banyak rosak dan terputus akibat bencana ini. Alhamdulillah kebanyakan bekalan air sudah dipulihkan dan JANS juga sedang bertungkus lumus untuk memastikan tekanan air mencukupi.

“Mengenai kerosakan tiang-tiang dan sambungan wayar elektrik, saya sudah mengarahkan SESB untuk membuat kerja membaik pulih bagi memulihkan bekalan elektrik demi menjamin keselamatan penduduk kampung kerana banyak wayar sambungan yang tercabut dan terjatuh akibat bencana,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 4,000 bakul makanan juga disalurkan kepada penduduk yang terjejas dengan sebahagiannya sudah diagihkan kepada beberapa penduduk di kampung yang terbabit dengan bencana banjir.

Antara kampung terbabit katanya ialah Kampung Suok, Sugud, Inobong, Ramayah, Terawi, Tinduzon, Kampung Baru Penampang, Kuai Kandazon, Kivatu dan Kampung Penampang Proper.

“InsyaAllah kita akan terus mengenal pasti mereka yang terjejas dan memerlukan bantuan bakul makanan ini,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti gotong-royong untuk membersihkan rumah, dewan, sekolah dan lain-lain bangunan juga akan diteruskan.

Katanya, pasukan yang terlibat akan mengadakan pembersihan di rumah yang terjejas di Kampung Sugud, esok dan akan meneruskan aktiviti pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sugud pada Isnin ini.

“Saya juga sudah mengarahkan Pejabat Daerah Penampang yang diketuai Pegawai Daerah, Francis Chong, selain Senator Datuk John Ambrose untuk menyelaras dan memantau gerak kerja di kawasan ini sepanjang masa.

“Terima kasih kepada semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pimpinan parti politik dan orang awam yang bersama-sama dengan kita dalam mengurus bencana ini.

“Kita akan memastikan perkara yang sepatutnya dijalankan dengan kadar segera,” katanya.

Banjir kilat akibat hujan lebat yang menjejaskan kebanyakan kampung dan kawasan rendah di sekitar Penampang pada Rabu lalu meninggalkan kesan kerosakan yang banyak di beberapa kampung.

Khamis lalu, Hajiji turut mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meninjau sendiri keadaan kerosakan akibat tanah runtuh di Kampung Madsiang, Penampang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|