Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak cadangan untuk melupakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menggantikannya dengan perjanjian baharu yang dimeterai di antara kerajaan Pusat, Sabah dan Sarawak.
Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata cadangan itu bukanlah langkah tepat untuk menyelesaikan isu berkaitan MA63 dan tuntutan mengenainya yang disuarakan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, cadangan menggantikan MA63 dengan perjanjian baharu tidak boleh dilaksanakan kerana MA63 menjadi rujukan penting dan asas untuk membincangkan isu yang memberi manfaat kepada kedua-dua negeri berkenaan.
“Kita perlu memahami bahawa MA63 dan Akta Malaysia juga dibentangkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah serta Sarawak.
“Jika kita ingin merangka perjanjian baharu, perjanjian itu juga perlu dibentangkan di Parlimen dan kedua-dua DUN untuk persetujuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu mengulas cadangan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai perjanjian baharu dengan Putrajaya bagi menggantikan MA63.
Mengulas lanjut, Maximus berkata Pandikar perlu memahami bahawa persekutuan yang ada sekarang memerlukan perjanjian sebagai titik rujukan asas.
“Maknanya, dalam hal ini, jika tiada MA63, maka tiadalah titik rujukan asas. Katakanlah jika anda tidak berpuas hati dengan perlembagaan persekutuan sedia ada, apa dokumen rujukan yang boleh anda gunakan untuk membahaskannya?,” soalnya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan perjanjian baharu dengan Putrajaya perlu dibuat, namun katanya ia mesti berdasarkan MA63 dan bukan untuk menggantikan perjanjian asal berkenaan.
Maximus turut menjelaskan, berdasarkan undang-undang, jika ada individu berdepan dengan rungutan, aduan atau pecah amanah, mereka berhak menolak sekiranya ia bercanggah dengan perjanjian yang ditandatangani.
“Oleh itu, pihak yang menghadapi isu ketidakpatuhan terhadap sebarang perjanjian boleh membuat aduan dan membuat rayuan untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya proses itu gagal, hanya dengan itu, anda boleh melupakan MA63 dan memilih proses perundangan atau demokrasi berpolitik.
“Namun, Malaysia masih memiliki pemimpin yang berfikiran waras, bukan hanya di peringkat kerajaan Pusat tetapi juga di Sabah dan Sarawak, yang komited untuk memelihara, mengukuhkan dan memperbaharui Persekutuan Malaysia dan ia akan mengembangkan ideologi Sabah Maju Jaya dan Sarawak sebagai rakan sekutu persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Maximus bersetuju dengan Pandikar Amin mengenai kelayakan pemimpin dari Sabah dan Sarawak untuk menjawat jawatan penting seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Pandikar Amin, dalam kenyataannya menyatakan kekecewaannya kerana tiada seorang pemimpin dari Sabah atau Sarawak yang pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan.
Beliau membangkitkan sama ada perkara itu disebabkan pemimpin dari Semenanjung yang merasakan bahawa pemimpin Sabah dan Sarawak tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin nasional.
-Deasoka