ADUN, petugas sidang DUN jalani saringan Covid-19 mulai esok

ADUN, petugas sidang DUN jalani saringan Covid-19 mulai esok

Kota Kinabalu: Semua petugas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mulai Selasa ini, akan menjalani saringan ujian calitan Covid-19, mulai esok.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata saringan RTK Antigen itu adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan pihak DUN bagi mengekang penularan Covid-19.

“Selain perlu lengkap dua dos vaksin sebagai SOP utama yang ditetapkan kepada semua petugas dan ADUN, kita juga menetapkan SOP saringan RTK Antigen.

“Semua ADUN perlu membuat saringan 48 jam sebelum hari perasmian dan sebaiknya hendaklah dibuat esok dan dikemukakan kepada pejabat DUN selewatnya pada Isnin ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata persidangan DUN kali ini tidak akan diadakan terlalu lama seperti kebiasaan sejajar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, semua ADUN dinasihatkan tidak berada terlalu lama di dalam dewan bagi menghalang penularan Covid-19.

“Atas saranan KKM, kita menasihatkan semua Ahli Yang Berhormat agar tidak terlalu lama berada dalam dewan.

“Ini bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 berlaku dalam kalangan ahli dewan dan petugas yang lain.

“Untuk itu, kita akan memendekkan tempoh persidangan dan pada kali ini Ahli Yang Berhormat hanya akan membahaskan ucapan dasar Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Kadzim berkata pihaknya juga sudah memasang penghadang di tempat duduk ADUN bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Mengenai jumlah kehadiran ahli dewan, beliau berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang permohonan untuk pengecualian hadir.

“Kita maklum bahawa ada beberapa Ahli Yang Berhormat juga adalah Ahli Parlimen dan mereka masih bersidang,” katanya.

Hari ini, Kadzim turut memantau raptai kedua Istiadat Pembukaan Penggal Pertama DUN Sabah Keenam Belas sebagai persiapan Persidangan DUN.

Raptai berkenaan turut dihadiri Timbalan Speaker, Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun;
Setiausaha DUN, Rafidah Maqbool Rahman dan timbalannya, Mohd Jayrie Jaya serta petugas mewakili jabatan dan agensi yang berkaitan.

Istiadat pembukaan akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada Selasa ini, diikuti persidangan selama dua hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|