Kota Kinabalu: Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal yang membabitkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka atau tertutup dibenarkan beroperasi semula bermula Isnin ini.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata aktiviti itu adalah antara 10 jenis aktiviti yang dibenarkan beroperasi semula di Sabah dalam prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 yang akan dikuatkuasakan mulai 20 September.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua aktiviti itu perlu mematuhi SOP lengkap vaksin sebagai syarat kepada individu untuk menyertai atau melakukan aktiviti yang disenaraikan.
“Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, Zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara individu atau berkumpulan di gimnasium atau pusat kecergasan dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus atau tidak melebihi 30 orang dengan syarat jurulatih dan peserta sudah lengkap divaksin.
“Aktiviti `hiking’ atau mendaki bukit juga dibenarkan kepada individu sudah lengkap divaksin yang dilakukan secara individu atau berkumpulan dengan mematuhi kapasiti 50 peratus atau tidak melebihi 30 orang, mana yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata turut dibenarkan beroperasi bermula Isnin ini ialah Pusat Latihan Maritim dan Pusat Latihan Penerbangan.
Beliau berkata, aktiviti kolam memancing pula dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 6 petang dalam daerah yang sama dengan syarat pekerja dan pelanggan sudah lengkap vaksin serta mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 30 orang.
Jelasnya, aktiviti kapal persiaran domestik di perairan Sabah juga dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus dengan syarat semua anak kapal atau pekerja dan penumpang sudah lengkap divaksin.
Bagaimanapun, katanya aktiviti kelab malam dan pub tidak dibenarkan.
“Mesyuarat secara bersemuka dibenarkan semula kepada individu yang sudah lengkap divaksin dengan kapasiti 50 peratus keluasan bilik mesyuarat.
“Semua pejabat swasta pula dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja adalah mengikut peratusan pekerja yang sudah divaksin,” katanya.
Selain itu, katanya kilang dan kedai minuman keras juga dibenarkan beroperasi semula, namun kelab malam, pub dan pusat karaoke masih tidak dibenarkan dibuka.
Sementara itu, Masidi berkata institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga mula dibuka secara berperingkat kepada pelajar yang sudah lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas lengkap vaksinasi, namun kemasukan sebenar pelajar adalah tertakluk kepada kapasiti IPT.
SOP terperinci mengenai semua aktiviti itu akan dikeluarkan esok.
-Deasoka