Lelaki maut, kenderaan terjunam di muara sungai

Lelaki maut, kenderaan terjunam di muara sungai

Sandakan: Seorang lelaki ditemui maut selepas dipercayai terperangkap di dalam kenderaannya yang terjunam di dalam muara sungai di Kampung Batu 7, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Thien Nyuk Kong, 62, hanya disedari berada di dalam kenderaan berkenaan selepas dikeluarkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pasukan bomba menarik kereta yang terjunam di dalam muara sungai Kampung Batu 7, Sandakan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.44 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Pusat kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima laporan terdapat sebuah kenderaan yang dilihat timbul di muara sungai berkenaan.

“Pasukan Bomba terus bergegas ke lokasi kejadian dan menjalankan kerja-kerja menaikkan kenderaan keluar dari sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik bejaya dikeluarkan, terdapat seorang mangsa lelaki berada di dalam kenderaan berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada jam 7.58 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|