Facebook JKR Sabah diwujudkan untuk salur, dapatkan maklumat

Facebook JKR Sabah diwujudkan untuk salur, dapatkan maklumat

Kota Kinabalu: Laman Facebook rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diwujudkan secara rasmi untuk memudahkan orang ramai menyalurkan atau mendapatkan maklumat berhubung masalah membabitkan jalan raya atau jambatan terputus di negeri ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, laman Facebook itu adalah inisiatif daripada Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid sendiri.

Bung Moktar dan Ali Ahmad melancarkan Facebook rasmi JKR Sabah pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan JKR Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan, Kota Kinabalu.

“Ini adalah inisiatif Pengarah JKR untuk mewujudkan satu Facebook terbuka untuk orang ramai membuat aduan.

“Ini bermakna, setiap aduan kita akan perincikan setiap masa dan ia akan diambil tindakan dengan pantas sekiranya ada aduan berlaku jambatan putus, banjir atau cerun (tanah runtuh), orang ramai boleh membuat aduan di situ dan kita akan ambil tindakan dengan segera yang boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan di sini, semalam.

Sementara itu, Ali Ahmad dalam ucapannya berkata, pihaknya akan terus memperkasakan lagi tatacara untuk mengkemaskini maklumat setiap kali berlaku bencana alam yang melibatkan jalan raya agar laman sesawang JKR akan terus relevan dan menjadi ‘One Stop Centre’ untuk mengetahui lokasi kejadian tanah runtuh, jalan terputus, jambatan runtuh dan sebagainya.

“Bagaimanapun, melihat kepada kencenderungan dan ‘popularity’ orang awam menggunakan Facebook sebagai medium untuk berkominikasi, mendapatkan maklumat, aduan dan sebagainya melebihi dari penggunaan website sediada, maka saya telah mewujudkan Facebook rasmi JKR Sabah bagi menyampaikan maklumat-maklumat mutakhir, memperjelaskan isu dan masalah yang dihadapi oleh orang awam yang berkaitan dengan jabatan.

“Menjadi harapan saya dengan adanya Facebook rasmi ini, akan dapat mempertingkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan setiap tindakan kita dalam menyelesaikan masalah rakyat yang melibatkan jabatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang awam akan dapat manfaatkan sepenuhnya maklumat yang bakal dimuatkan dalam Facebook rasmi itu dengan sebaiknya.

“Dalam masa yang sama juga, saya berharap agar pengguna-pengguna nanti tidak menyalahgunakan Facebook rasmi ini dengan isu-isu remeh dan negatif yang sekali gus boleh melemahkan prestasi perkhidmataan awam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|