Dana global PMB Invesment capai sasaran saiz dana

Dana global PMB Invesment capai sasaran saiz dana

Kota Kinabalu: PMB Investment Berhad (PMB Investment) terus tekad untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan di peringkat global susulan sambutan positif pelabur yang ditunjukkan PMB Shariah Global Equity Fund (PMBSGEF) yang dilancarkan pada Oktober lalu.

Ketika dilancarkan PMB Investment meletakkan sasaran jualan sebanyak RM20 juta sehingga hujung tahun ini namun sehingga November lalu, PMBSGEF telah mencapai sasaran saiz jualan hampir RM18 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim berkata, pelabur mempunyai keyakinan untuk terus melabur di pasaran global walaupun terdapat peningkatan kembali kes pandemik dan risiko penularan.

Bagaimanapun katanya, tindakan pembendungan penularan pandemik yang agresif akan terus mempengaruhi aktiviti pelaburan.

“Kami optimis PMBSGEF mampu mencapai sasaran jualan sekurang-kurangnya RM25 hingga RM50 juta dalam tempoh setahun selepas ia dilancarkan pada 28 Oktober lalu.

“Ia berikutan ekonomi Malaysia yang dijangka terus meningkat pada suku pertama tahun hadapan di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus mengukuh antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada tahun 2022 berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

“Seperti yang kita lihat pada masa suku keempat tahun ini, banyak sektor ekonomi dan sosial telah beroperasi sepenuhnya. Tambahan pula kesinambungan pelbagai inisiatif rangsangan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi menangani impak Covid-19 akan memberi kesan limpahan dan sokongan kepada ekonomi tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu Majlis Makan Malam Bersama Pengamal Media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mahani berkata, PMB Investment tidak terkecuali untuk mengambil langkah proaktif strategik dalam menyediakan pelbagai pilihan pelaburan di peringkat global dengan potensi pulangan pelaburan yang mampan sejajar dengan kesan pemulihan ekonomi semasa.

Ditanya berhubung perancangan PMB Investment untuk tahun hadapan, Mahani berkata, pihaknya merancang untuk memperkenalkan tiga lagi dana saham amanah syariah kepada masyarakat pelabur dan dana pertama bakal dilancarkan pada suku pertama 2022.

“Dalam usaha menggalakkan pelaburan saham amanah di kalangan masyarakat Sabah, PMB Investment akan mengadakan ‘road show’ di beberapa lokasi terpilih dan sesi taklimat di organisasi selain insitusi pengajian tinggi.

“Kami mahu memberi pendedahan kepada masyarakat terutama golongan muda tentang pentingnya perancangan pelaburan di waktu usia masih muda.

“Kami mahu menjadikan pelaburan sebagai gaya hidup kumpulan ini. Selain mula melabur awal, mereka boleh juga menjadi perunding unit amanah untuk sumber pendapatan sampingan atau secara sepenuh masa,” ujarnya.

Terdahulu, Mahani turut berkongsi maklumat berhubung program perintis dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang melatih graduan sebagai Usahawan Kewangan Syariah PMB Investment.

“Seramai 100 graduan telah mengikuti program ini dan kami melanjutkan program tersebut di UMS untuk kumpulan kedua pada awal tahun hadapan selain melaksanakan program sama di beberapa insitusi pengajian tinggi lain.

“Graduan harus digalakkan untuk tidak hanya bergantung kepada makan gaji semata-mata selepas tamat pengajian. Mereka boleh memulakan karier sebagai usahawan berjaya dan semua latihan serta kemahiran akan disampaikan oleh PMB Investment,” katanya.

Untuk rekod, PMB Investment merupakan anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, syarikat pelopor dalam pengurusan unit amanah dan pengurusan portfolio.

PMB Investment juga merupakan Institusi Pengurusan Dana Syariah (IFMC) yang menguruskan 18 dana termasuk PMB Shariah Global Equity Fund dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas aset utama iaitu ekuiti, sukuk dan pasaran modal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|