DUN Sabah tidak berisiko bubar automatik: Speaker

DUN Sabah tidak berisiko bubar automatik: Speaker

Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak menghadapi sebarang risiko pembubaran secara automatik sekiranya belum bersidang sekurang-kurangnya sebelum 1 Ogos depan.

Perkara itu didedahkan oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya yang menafikan kenyataan beberapa pihak berhubung isu tersebut dan meminta orang ramai supaya tidak terkeliru.

Jelasnya, meskipun Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan bahawa DUN Sabah hendaklah bersidang dalam tempoh enam bulan dari tempoh terakhir sidang yang lalu, tetapi Seksyen 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan pengecualian kepada Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Sehubungan itu, orang ramai adalah diminta supaya tidak terkeliru disebabkan DUN Sabah belum mengadakan sesi persidangan sejak Bajet 2021 pada bulan Disember 2020 yang lalu, “katanya.

Beliau dalam pada masa yang sama turut menambah, DUN Sabah bagaimanapun bersedia mengadakan persidangan pada bila-bila masa mengikut ketetapan tarikh yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Baru-baru ini, Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau dalam kenyataan medianya menyeru Ketua Menteri Sabah supaya membuka semula sidang DUN di negeri ini sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos hadapan.

Jelas Madius, langkah itu adalah bagi mengelakkan berlakunya pembubaran secara automatik susulan sidang DUN Sabah kali terakhir ditangguhkan sejak 23 Disember tahun lalu.

Foto kredit: Wikipedia, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|