DUN Sabah: Sabah tubuh jawatankuasa tindakan tuntut hak petroleum, gas

DUN Sabah: Sabah tubuh jawatankuasa tindakan tuntut hak petroleum, gas

Kota Kinabalu: Sebuah Jawatankuasa Teknikal peringkat negeri diwujudkan bagi menyediakan syor dan cadangan berkaitan kepentingan negeri untuk dibawa ke perhatian PETRONAS dan kerajaan persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah antara usaha kerajaan negeri bagi menuntut hak dan kepentingan negeri dalam industri petroleum dan gas.

Katanya, jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun dan dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Penasihat Undang- Undang kepada Ketua Menteri dan bekas Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Seri Lim Haw Kuang.

“Berhubung perkara yang menyentuh hak dan kepentingan negeri dalam industri petroleum dan gas, saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal di peringkat negeri yang bertanggungjawab menyediakan syor dan cadangan atas kepentingan negeri untuk dibawa ke perhatian PETRONAS dan kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kementerian Kewangan pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Sementara itu, Hajiji berkata Perundingan Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) di antara kerajaan negeri dan PETRONAS akan dipimpin dan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan di bawah Jawatankuasa Bersama yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pihak kerajaan persekutuan.

“Saya sendiri telah mengadakan perbincangan awal dengan Tengku Zafrul berhubung isu yang sama. Di samping itu, saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Teknikal, Datuk Seri Masidi Manjun juga telah mengadakan perundingan awal dengan Pengerusi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS pada 24 Ogos lalu.

“Respon yang diterima daripada pihak PETRONAS amat positif. Kita akan memastikan susulan dibuat di peringkat pegawai melalui Jawatankuasa Teknikal,” katanya.

Secara khususnya, katanya objektif CSA antaranya adalah untuk memberi kuasa yang lebih besar kepada Sabah dalam membuat keputusan mengenai pembangunan minyak dan gas di Sabah.

Katanya perjanjian itu juga memberi hak kepada Sabah untuk mendapat bahagian yang lebih besar daripada hasil minyak dan gas yang dihasilkan di dalam negeri dan mempunyai peluang yang lebih besar melalui pencalonan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyertai dan melabur dalam aktiviti huluan dan hiliran minyak dan gas.

“Kerajaan negeri akan memastikan hak dan kepentingan negeri sentiasa ditegakkan dan dilindungi serta memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|