Bomba bantu bersihkan lumpur akibat banjir

Bomba bantu bersihkan lumpur akibat banjir

Penampang: Selepas kejadian banjir dan air yang mulai surut, tiba pula masa untuk program pascabanjir iaitu membersihkan kawasan sekitar Kampung Sugud dan Kampung Sugud Maang, di sini, hari ini.

Meskipun masih ada sebahagian daripada kawasan belum dapat ditembusi akibat keadaan lumpur yang terlalu tebal, ramai penduduk yang sudah mula pulang ke rumah untuk membersihkan kawasan masing-masing.

Namun tidak dapat dinafikan, bukan semua kesan banjir dapat dibersihkan penduduk sendiri kerana ia memerlukan peralatan khas terutamanya keadaan yang berlumpur.

Menyedari perkara itu, tampil membantu untuk proses pembersihan berkenaan, pasukan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mengerahkan 14 anggota dan jentera sera kelengkapan diperlukan ke lokasi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, proses pembersihan dijalankan pada jam 9.30 pagi, hari ini.

Katanya, antara Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terbabit adalah BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas, BBP Tuaran serta Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Operasi pembersihan pasca banjir hari ini adalah bagi membersihkan jalan raya yang dipenuhi habuk lumpur yang berterbangan sehingga menjadi keluhan penduduk kampung sekitar.

“Pembersihan ini dijalankan bersama dengan bantuan jentolak milik Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pembabitan beberapa balai bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi fasa awal ini akan dijalankan di sekitar jalan raya hingga memasuki rumah penduduk di Jalan Kampung Sugud dan Jalan Kampung Sugud Maang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|