Kota Kinabalu: Kerajaan negeri membuat keputusan untuk menamatkan perjanjian lesen Sabah Forest Industry (SFI) di Sipitang berkuatkuasa pada 1 September lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan itu mengambil kira kepentingan awam, sekali gus membebaskan kawasan konsesi itu daripada sebarang ikatan dengan Receiver and Manager (R&M) dan Perjanjian Jual Beli yang tidak ada penyelesaian sehingga kini.
“Kawasan konsesi lesen berkenaan adalah hak Sabah yang tidak boleh digadaikan dan kita mempunyai hak untuk menentukan penggunaan
sumber hutan simpan itu dengan sebaiknya demi kepentingan umum, khususnya pekerja dan rakyat Sabah umumnya.
“Kerajaan negeri kini sedang mengambil beberapa strategi dan tindakan untuk memulakan operasi huluan (kawasan konsesi) dan industri hiliran bagi kawasan berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Kewangan pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata strategi dan tindakan itu akan dilaksanakan dengan segera agar sumber hutan dapat diurus dan kilang dapat diaktifkan semula.
Katanya, ia supaya pekerja SFI yang terjejas ketika ini dapat diberikan peluang pekerjaan semula dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, Hajiji menafikan dakwaan berlaku aktiviti pembalakan di kawasan konsesi SFI sama ada untuk eksport atau kegunaan lain.
Beliau yang menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senalang) mengenai dakwaan itu, berkata kerajaan negeri belum melaksanakan apa-apa tindakan atau melantik mana-mana pihak melaksanakan aktiviti di kawasan konsesi SFI itu.
SFI adalah kawasan konsesi perhutanan yang terbabit dalam pengeluaran kertas dan pulpa dengan kerajaan negeri memegang dua peratus saham dalam syarikat berkenaan.
-Deasoka