Penolong jurutera mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terima suapan

Penolong jurutera mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terima suapan

Kota Kinabalu: Seorang penolong jurutera mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM1,838 daripada sebuah syarikat.

Tertuduh, Nurul Syazwanie Idris, 31 Tahun, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, hari ini.

Suapan berkenaan dikatakan sebagai balasan membantu mendapatkan kerja-kerja pembekalan barang-barang bagi Program H20 Run anjuran Kelab Sukan dan Hiburan
Jabatan Pengairan Dan Saliran Kota Kinabalu, pada 17 Mac 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Ram Singh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan RM3,000 sebagai deposit serta seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan 12 November depan sebagai tarikh pengurusan perbicaraan kes berkenaan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa dari SPRM Rekraj Singh.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, Timbalan Pengarah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Sembilan berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tertuduh, Mohd Daffy Liamin, 37, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan membuat tuntutan palsu untuk program Himpunan Kasih Sayang peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2013.

Mohd Daffy kemudiannya dibebaskan menerusi ikat jamin RM10,000 dengan pendahuluan RM4,000 serta seorang penjamin.

Tertuduh juga diminta melapor diri ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap dua bulan selain diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tertuduh diwakili peguam Tetuan P J Perira dan Dasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|